
KUCHING – Seramai 35 warga emas menyertai Program Skuad Emas: Literasi Digital anjuran AJK Wanita Masjid Darul Hasanah, Taman Sourabaya Indah yang berlangsung pada Rabu, 18 Jun 2025 di masjid tersebut.
Program itu bertujuan memperkasakan kemahiran digital dalam kalangan warga emas dengan memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi semasa seperti peranti pintar, aplikasi keselamatan, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT.

Pesara kerajaan, Su’ut Lias, 63, berkata, program ini sangat membantu warga emas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.
“Ramai dalam kalangan kami masih takut guna teknologi kerana bimbang jadi mangsa scam. Tapi program ini beri keyakinan dan ilmu asas yang sangat berguna,” katanya.

Sementara itu, pesara guru, Siti Alawiah, 61, menyifatkan kursus ini membuka minda dan membantu warga emas memahami risiko keselamatan dalam dunia digital.
“Kita diajar cara kenal pasti scam serta guna teknologi untuk kebaikan. Ilmu ini sangat berguna untuk elak jadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Bagi Meena Kipli, 73, seorang suri rumah, pembelajaran berkaitan AI seperti ChatGPT sangat menarik dan memberi peluang baharu kepada warga emas.
“Sekarang saya tahu AI boleh bantu cari maklumat dan jawab soalan – sangat berguna dalam kehidupan harian,” katanya.
Tenaga pengajar program, Kalthoum Adni berkata, keberanian warga emas untuk belajar teknologi perlu dipupuk agar mereka tidak terus ketinggalan.

“Ilmu digital kini satu keperluan, bukan pilihan. Melalui kursus ini, mereka lebih yakin dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain dalam urusan harian,” jelasnya.
Program yang dijalankan di bawah inisiatif Digital Warga Emas (DiWarMas) ini mendapat kerjasama Jawatankuasa Wanita Masjid Darul Hasanah dan dijangka diperluas ke beberapa masjid lain bagi memperkasa komuniti warga emas celik digital di Sarawak.




