CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan penyebaran kandungan jelik melampau berunsur agama, raja dan kaum (3R) yang menyasarkan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan individu terbabit ialah pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre, dan rakaman percakapannya telah diambil bagi melengkapkan siasatan.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan dengan kerjasama rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Pihak PDRM pula menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau dipenjarakan selama tempoh dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pada masa sama, MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap institusi diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta mengganggu keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
“Orang ramai diingatkan menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah terutama membabitkan institusi diraja akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
Terdahulu, PDRM mengesahkan sedang menyiasat pemilik akaun Facebook berkenaan susulan hantaran imej yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), M Kumar dilaporkan berkata, hantaran yang dimuat naik pada 25 April lalu kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.




