
KUCHING – Malaysia mempunyai potensi besar untuk menerajui peralihan tenaga di rantau ASEAN, sekali gus membuka ruang pelaburan yang luas dalam sektor tenaga bersih, kata Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Beliau berkata, kekuatan Malaysia dalam merangka dasar kukuh serta membangunkan infrastruktur moden membuktikan kesediaan negara untuk menjadi pemimpin serantau dalam agenda tenaga mampan.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 adalah bukti komitmen Malaysia yang jelas dalam memacu transformasi tenaga,” katanya ketika sesi temu bual pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-43 Mengenai Tenaga (SOME) di Kuching pada Rabu.
Katanya lagi, sistem grid elektrik negara sedang dinaik taraf secara aktif termasuk penggunaan sistem penyimpanan tenaga (BESS) dan digitalisasi, yang memberi kelebihan dari sudut teknikal untuk menyokong integrasi tenaga boleh baharu secara besar-besaran.
“Malaysia juga menawarkan iklim pelaburan yang stabil dengan dasar mesra pelabur, insentif fiskal menarik dan sokongan institusi yang kukuh. Gabungan faktor ini menjadikan negara kita destinasi utama pelaburan tenaga bersih di ASEAN,” jelas beliau.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan penganjuran Mesyuarat SOME ke-43 di Sarawak sebagai satu langkah strategik yang berjaya menonjolkan kekuatan negeri tersebut dalam bidang tenaga.
“Sarawak kaya dengan sumber semula jadi dan mempunyai komitmen tinggi terhadap pembangunan tenaga boleh baharu. Penganjuran ini telah memperlihatkan peranan penting yang boleh dimainkan oleh negeri ini dalam kerangka tenaga serantau,” katanya.
Mesyuarat yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun 2025 itu menghimpunkan lebih 250 delegasi dari negara-negara ASEAN serta menjadi platform penting membincangkan kerjasama serta masa depan tenaga mampan di rantau ini.




