BATU PAHAT – Semua parti dalam Kerajaan MADANI disaran mengamalkan pendekatan matang dan rasional dengan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding percaturan politik, khususnya dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Md Ysahrudin Kusni berkata, perbincangan secara terbuka dan konstruktif perlu dilakukan antara semua pihak bagi mencari jalan terbaik demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, situasi global yang tidak menentu ketika ini, termasuk konflik berpanjangan yang menjejaskan rantaian bekalan tenaga dunia, memberi kesan langsung kepada ekonomi negara, khususnya peningkatan kos sara hidup.
“Keadaan ini menuntut keutamaan diberikan kepada kestabilan negara. Walaupun strategi politik penting bagi setiap parti, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa polemik politik yang tidak membawa manfaat wajar dihentikan, sebaliknya fokus harus diberikan kepada usaha mengurus cabaran ekonomi serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa penganjuran PRN dalam tempoh terdekat berpotensi menambah ketidaktentuan politik ketika rakyat sedang berdepan tekanan ekonomi yang semakin mencabar.
Katanya, negeri Johor mempunyai kedudukan strategik sebagai pintu masuk ekonomi negara serta hubungan erat dengan Singapura, menjadikan kestabilan politik di negeri itu amat penting untuk menjamin kesinambungan aktiviti ekonomi.
“Ramai rakyat Johor bergantung kepada sektor industri, perdagangan serta peluang pekerjaan rentas sempadan. Justeru, sebarang ketidaktentuan politik boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” ujarnya
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan utama dalam setiap keputusan politik, terutama dalam menghadapi situasi ekonomi global yang mencabar ketika ini.



