PUTRAJAYA – Cukai prokesihatan yang mahu dinaikkan Kementerian Kesihatan (KKM) bukan sahaja ke atas produk tembakau, namun turut merangkumi rokok elektronik atau vape yang mengandungi nikotin.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, tindakan itu akan memastikan keberkesanan langkah peluasan cukai prokesihatan dalam mengurangkan penggunaan produk tembakau, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan orang ramai.
Menurutnya, kajian impak dasar kawalan tembakau terhadap penggunaan rokok di Malaysia dan kajian analisis permintaan terhadap penggunaan tembakau di Malaysia membuktikan cukai prokesihatan memberikan kesan positif.
“Hasil kajian mendapati bahawa peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus dapat turunkan peratus perokok sebanyak 7.69 peratus, selain kenaikan cukai 25 peratus ke atas rokok di Malaysia dijangka meningkatkan hasil cukai sebanyak 20.8 peratus dan mengurangkan kadar penggunaan produk merokok.
“Namun kerajaan sedar bahawa pelaksanaan cukai prokesihatan di sesetengah negara kurang berkesan apabila cukai hanya dikenakan pada satu kategori produk, menyebabkan pengguna beralih kepada produk pengganti yang juga berisiko.
“Justeru, bagi memastikan keberkesanan langkah ini, cukai perlu dinaikkan bukan sahaja ke atas produk tembakau, tetapi turut merangkumi rokok elektronik atau vape yang mengandungi nikotin,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Negara, pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk C Sivaraj yang ingin tahu sama ada kerajaan sedar bahawa pendekatan menaikkan cukai prokesihatan pernah gagal di beberapa negara kerana rakyat beralih kepada produk pengganti yang sama namun berisiko.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, kajian di beberapa negara lain turut menunjukkan kesan positif pelaksanaan cukai prokesihatan termasuk di India, Vietnam, Taiwan, Australia dan New Zealand.
Beliau berkata, di India, anggaran menunjukkan bahwa seramai 1.5 juta lelaki berhenti merokok susulan pelaksanaan kenaikan cukai tembakau di empat buah negeri membabitkan harga rokok meningkat kira-kira 53 persen.
“Di Vietnam, kenaikan harga rokok sebanyak 32 persen mengelakkan 285.000 lelaki daripada beban kesehatan ekstrem dan 95.000 daripada kemiskinan.
“Sebelum pelaksanaan cukai baharu pada tahun 2002, Taiwan mencatatkan pengeluaran rokok sebanyak 2,31 bilion pek setahun. Selepas pelaksanaan cukai itu, jumlah pengeluaran menurun hingga 1.735 bilion pek setahun. Penurunan ini mencerminkan pengurangan penggunaan rokok sebanyak 10,5 persen,” katanya.
Beliau berkata, Australia pula merekodkan kadar merokok dewasa menurun daripada 23.6 peratus pada tahun 2001 kepada 17.3 peratus pada tahun 2011, dengan 76 peratus penurunan dikaitkan kepada cukai tinggi, larangan merokok dan kempen kesedaran.
“Bagi New Zealand, kadar merokok harian dewasa turun sebanyak 43 peratus daripada 11.9 peratus pada 2020 kepada 6.8 peratus pada 2023, hasil gabungan cukai tinggi dan kawalan ketat terhadap semua produk nikotin, termasuk vape.
“Pendekatan tersebut membuktikan keberkesanan cukai komprehensif dalam mengurangkan kadar penggunaan produk merokok dan beban penyakit berkaitan tembakau,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kajian tahun lalu menunjukkan bahawa pengguna didapati beralih daripada pengambilan minuman bergula (SSB) dikenakan cukai kepada SSB tidak dikenakan cukai terutama yang menggunakan susu pekat manis sebagai gantian.
“Justeru inisiatif reformulasi terhadap tiga jenis produk minuman tinggi gula di Malaysia iaitu kordial, susu pekat manis dan krimer manis sedang dijalankan di bawah War On Sugar’ .
“Ini bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus produk itu dikurangkan kandungan gula menjelang tahun 2026. Duti eksais juga akan dikenakan sekiranya sasaran ini tidak dicapai,” katanya.





