
KOTA KINABALU – Sebuah patung model bersaiz manusia mencuri perhatian apabila dibawa masuk ke Mahkamah Koroner hari ini pada prosiding hari kedua inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Pada Rabu ketika ditemui media, peguam bela, Datuk Ram Singh berkata, penggunaan patung itu bertujuan membantu pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu, memberi penjelasan lebih jelas berhubung kedudukan serta kecederaan yang dialami Allahyarhamah.
Ram menjelaskan bahawa penggunaan patung ‘mannequin’ akan memudahkan prosiding inkues, bukan sahaja untuk pihak peguam tetapi juga bagi media memahami penjelasan pakar.
“Langkah itu dibenarkan mengikut peruntukan Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” katanya.
Dr Jessie dijadualkan menyambung keterangannya dengan menjawab soalan daripada pegawai pengendali mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), selain soalan daripada barisan peguam keluarga arwah dan peguam mewakili lima remaja tertuduh.





