PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan bantuan kewangan RM261 juta secara bersasar kepada bakal jemaah haji muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat suci itu bagi musim 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, bantuan itu menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
“Jumlah bantuan yang besar ini memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit.
“Bagi tujuan itu, TH mengambil langkah menurunkan kadar bantuan kewangan haji secara berperingkat sejak 2022, ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit,” katanya.
Syed Hamadah menjelaskan, jemaah haji muassasah kumpulan B40 kali pertama menunaikan ibadah haji akan diperuntukkan bantuan sebanyak RM18,300 iaitu 55 peratus daripada keseluruhan kos haji.
Katanya, bantuan kewangan haji bagi kumpulan M40 pula berjumlah RM9,800 iaitu 29 peratus daripada bayaran keseluruhan.
“Jemaah muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
“Ini adalah selari dengan prinsip penyasaran bantuan yang sedang dilakukan kerajaan.
“Bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara muassasah, mereka yang terpilih melalui proses rayuan perlu membayar penuh kos haji selaras dengan syarat istito’ah,” katanya.





