FAMA laksana intervensi pasaran untuk stabil harga cili merah

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan intervensi pasaran bagi menstabilkan harga cili merah di Pulau Pinang susulan penurunan ketara harga ladang sejak awal tahun ini.

Langkah itu diambil bagi melindungi pendapatan petani selain memastikan bekalan cili merah di pasaran kekal stabil.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, intervensi itu dilaksanakan susulan arahan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi membantu petani yang terkesan akibat penurunan harga pasaran.

“FAMA komited memastikan keseimbangan antara kepentingan pengeluar dan pengguna melalui pemantauan kawalan rantaian harga yang lebih efisien.

“Kami terus memperkukuh jaringan pemasaran, memperluas belian terus dari ladang serta menyediakan platform jualan yang memberi nilai terbaik kepada semua pihak dalam rantaian bekalan agromakanan,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.

Abdul Rashid berkata, FAMA bersama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang juga akan mengadakan sesi libat urus bersama Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri pada 5 Mei ini di TKPM Ara Kuda bagi membincangkan isu ladang dan sokongan berterusan kepada pengusaha tempatan.

Beliau memaklumkan, FAMA juga akan memperluaskan usaha intervensi itu ke negeri lain sebagai langkah menangani ketidaktentuan harga komoditi serta memastikan kestabilan bekalan dan harga yang lebih adil kepada pengguna.

Dalam pada itu, penurunan harga berkenaan berpunca daripada lebihan penawaran susulan peningkatan hasil tuaian tempatan akibat cuaca kering yang menggalakkan pengeluaran cili dan memberi tekanan kepada harga di peringkat ladang dan menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Selain itu, FAMA Negeri Pulau Pinang mengambil beberapa langkah intervensi termasuk meningkatkan pembelian terus dari ladang bagi komoditi terpilih seperti cili merah daripada satu tan kepada dua tan sehari.

Program Kontrak Pemasaran turut dilaksanakan membabitkan petani di kawasan utama seperti TKPM Ara Kuda, Perda Veggie Park dan Kepala Batas bagi menyelaras bekalan serta mengurangkan pengaruh orang tengah.

FAMA turut memperluaskan rangkaian pemasaran menerusi Pasar Tani, Jualan Agro MADANI, Agrobazaar Kedai Rakyat dan jualan khas mingguan yang akan bermula di KOMTAR pada 8 Mei depan.

Sehingga 28 April lalu, sebanyak 99.675 metrik tan hasil pertanian termasuk cili merah dibeli menerusi inisiatif intervensi FAMA bagi mengimbangi bekalan dan permintaan pasaran.

Related Posts

Kerajaan sasarkan gaji bulanan RM3,500 menjelang 2030

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan gaji penengah bulanan di Malaysia mencapai RM3,500 menjelang 2030, selain meningkatkan sumbangan pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menteri Sumber…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MyDigital ID tulang belakang utama daya saing Malaysia

PUTRAJAYA – Infrastruktur digital tidak lagi sekadar lapisan sokongan, sebaliknya menjadi tulang belakang utama dalam menentukan kecekapan negara serta daya saing Malaysia di peringkat global. Berucap di Majlis Memorandum Persefahaman…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Undi18 kekal ‘king maker’ dalam PRU16

Undi18 kekal ‘king maker’ dalam PRU16

Dari Vietnam ke Sabah, air mata iringi perjuangan suami bawa pulang isteri sakit

Dari Vietnam ke Sabah, air mata iringi perjuangan suami bawa pulang isteri sakit

FAMA laksana intervensi pasaran untuk stabil harga cili merah

FAMA laksana intervensi pasaran untuk stabil harga cili merah

Naratif lapuk Himpunan 1 Mei jejaskan kematangan wacana antirasuah

Naratif lapuk Himpunan 1 Mei jejaskan kematangan wacana antirasuah

MINDA TOK ABAH: Tanggungjawab dan keberanian negarawan insani

MINDA TOK ABAH: Tanggungjawab dan keberanian negarawan insani

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan