KUALA LUMPUR – UMNO perlu berdepan realiti semasa dengan lebih berkesan bagi memperkukuh kedudukan parti, khususnya dalam menangani kebimbangan masyarakat Melayu terhadap isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.
Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara isu utama yang menjadi perhatian ialah cabaran ekonomi, keperluan memperkasakan sistem pendidikan, pemeliharaan kesucian agama serta aspek perpaduan nasional yang semakin teruji.
Wan Rosdy berkata, perkara berkenaan sering menjadi topik perbualan dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu yang masih meletakkan harapan tinggi terhadap UMNO sebagai wadah perjuangan mereka.
“Inilah isu-isu yang sentiasa bermain di fikiran rakyat. Sebagai sebuah parti yang menjadi tonggak kepada orang Melayu, UMNO tidak boleh sekadar menjadi pemerhati.
“Mereka mahu melihat apakah langkah yang akan kita ambil untuk menangani kebimbangan ini, seterusnya memperbaiki defisit kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen UMNO sempena Ulang Tahun Ke-80 parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Wan Rosdy berkata, UMNO kini berada di persimpangan penting dalam landskap politik negara yang semakin berubah, dengan cabaran baharu melibatkan generasi pengundi serta pendekatan politik yang lebih dinamik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan parti bersikap realistik terhadap perubahan semasa, termasuk tingkah laku pengundi dan corak politik yang semakin berbeza berbanding sebelum ini.
“Jika kita masih menggunakan pendekatan lama untuk menghadapi cabaran baharu, maka kita bersedia menempah kegagalan,” katanya.
Mengulas keutamaan semasa, jelasnya, fokus utama ialah memulihkan keyakinan rakyat dengan memastikan UMNO dilihat sebagai parti yang stabil, matang dan berupaya mentadbir dengan berkesan.
Katanya, parti itu juga tidak boleh terus dilihat berdepan konflik dalaman kerana ia boleh menjejaskan persepsi awam.Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh jentera akar umbi sebagai tunjang kekuatan parti, termasuk di peringkat cawangan dan bahagian.
“Gerak kerja mesti konsisten, berterusan dan tidak hanya aktif ketika pilihan raya hampir tiba. Ia mesti menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.
“UMNO juga harus menguasai naratif baharu dalam era digital, khususnya dalam media sosial dan komunikasi digital yang menjadi medan utama pembentukan persepsi rakyat hari ini.
“Ini kerana hari ini, persepsi lebih laju daripada fakta. Jika kita gagal menguasai naratif, kita akan terus dipersepsikan oleh pihak lawan,” katanya.
Foto: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki





