KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan gaji penengah bulanan di Malaysia mencapai RM3,500 menjelang 2030, selain meningkatkan sumbangan pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, sasaran itu akan dicapai melalui pengukuhan Majlis Perundingan Gaji Negara, termasuk penetapan gaji permulaan khusus untuk graduan serta lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ini bukan impian. Ini perancangan yang sedang dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 bertemakan “Pekerja MADANI Kesuma Negara”, di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial akan melaksanakan Skim LINDUNG 24 Jam bermula Jun ini yang memberi perlindungan kepada 9.6 juta pencarum.
“Golongan pekerja ini akan dilindungi sepanjang masa, bukan hanya semasa bekerja. Jika kemalangan berlaku di luar waktu kerja pun, mereka tetap dilindungi,” katanya.
Beliau turut berkata Skim LINDUNG KASIH bagi suri rumah akan diperluas dengan menaikkan had umur daripada 55 kepada 60 tahun, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 720,000 wanita.
“Suri rumah menjaga anak-anak, orang tua, ahli keluarga yang sakit kerana mereka menyumbang besar kepada negara. Sudah tiba masanya kita balas jasa mereka dengan perlindungan yang lebih baik.Ini bukan hanya sekadar polisi, ini adalah janji yang dipenuhi oleh Kerajaan MADANI kepada rakyatnya,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia turut merancang penubuhan Akademi Semikonduktor Kesuma (ASK) bagi melahirkan bakat dalam bidang reka bentuk cip dan teknologi kecerdasan buatan (AI).Katanya, akademi itu akan menjadi pusat latihan strategik bagi menyokong keperluan industri semikonduktor negara dan pelaburan syarikat global.
Dalam masa sama, beliau berkata kementerian sedang melaksanakan semakan semula terhadap 26 akta berkaitan bagi memastikan undang-undang buruh kekal relevan, adil dan berkesan.
“Undang-undang yang baik tidak berguna jika rakyat tidak boleh mengaksesnya, justeru Kesuma akan memperkenalkan Mahkamah Buruh Bergerak, sebuah mahkamah yang bergerak ke tempat pekerja berada,” katanya.



