
KANOWIT – Sarawak terus komited memperkukuh infrastruktur luar bandar menerusi projek naik taraf laluan balak yang menghubungkan Skim Penempatan Semula (SPS) Ngungun ke SPS Jagau di kawasan Ngemah, menelan belanja lebih RM123 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah penyelesaian penting bagi mengatasi masalah akses penduduk pedalaman yang sekian lama bergantung sepenuhnya kepada laluan balak sebagai nadi perhubungan utama.
Menurutnya, fasa pertama projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang 4.3 kilometer dari SPS Ngungun ke Nanga Bat.
Beliau berkata, projek yang melibatkan kos lebih RM37.79 juta itu telah dibuka tender pada 25 Februari lalu.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya mengalami sedikit kelewatan susulan isu teknikal melibatkan urusan pembayaran yang kini sedang giat diselesaikan oleh Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Keluarga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Ngemah Tengah serta Ngemah Hilir di Karangan Nanga Bat pada Jumaat.
Mengulas mengenai jajaran kedua yang menghubungkan Nanga Bat ke Nanga Pra sepanjang lapan kilometer, Anyi memaklumkan projek di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) bernilai RM86 juta itu kini rancak berjalan dengan tahap kemajuan fizikal mencecah 86 peratus.
Tambahnya, projek kesinambungan bagi laluan dari Nanga Pra ke Nanga Jagau pula dijangka akan ditender pada suku ketiga tahun ini.
“Perkara ini bagaimanapun bergantung kepada jadual pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) atau selewat-lewatnya pada suku pertama 2027 memandangkan ia turut melibatkan proses pengambilan balik tanah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, satu lagi projek jalan raya sepanjang tujuh kilometer yang menghubungkan Simpang Jagau bakal ditender dalam masa terdekat.
Tegasnya, pelaksanaan projek itu diyakini mampu melengkapkan jaringan perhubungan dan bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi serta merancakkan lagi pembangunan infrastruktur masyarakat di pedalaman Ngemah.




