PUTRAJAYA – Perdana Menteri mencadangkan anggota Kabinet alumni Universiti Malaysia (UM) menyumbang RM10,000 kepada Tabung UM Endowment Fund (UMEF) untuk tujuan pembangunan universiti bagi masa hadapan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencadangkan agar alumni UM memperoleh pendapatan RM10,000 sebulan dan ke atas menyumbang sekurang-kurangnya RM1,000 kepada tabung itu.
Beliau berkata, bantuan dan sumbangan diberikan alumni UM akan meringankan beban kerajaan yang mewarisi hutang berjumlah RM1.5 trilion.
“Bermula dengan ahli Jemaah Menteri alumni, kita akan memulakan dana wajib sebanyak RM10,000 seorang dan saya percaya setiap graduan universiti yang mempunyai sumber pendapatan lebih RM10,000 harus diwajibkan memberikan RM1,000 kepada UMEF.
“Justeru, jika kita kumpulkan keseluruhannya, saya percaya kita boleh mencapai angka lebih setengah bilion dengan dana lebih besar.
“Bagaimanapun, (seruan) ini bukanlah untuk saya melepaskan tanggungjawab (kepada UM), namun saudara saudari tahu, keterbatasan kita kerana mewarisi keadaan ekonomi yang tidak diuruskan dengan begitu bertanggungjawab sehingga beban hutang mencecah RM1.5 trilion ketika ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Alumni UM Jejak Memori, malam tadi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Canselor UM turut berangkat dalam majlis berkenaan.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
Anwar yang juga Penaung Persatuan Alumni UM berkata, ekonomi negara ketika ini turut direncana dan dibantu oleh alumni UM.
“Kita berharap diberi kekuatan agar pendapatan negara pada masa hadapan akan terus bertambah,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai jasa UM yang besar terhadap negara, khususnya dalam bidang pendidikan.
Selain Anwar, jemaah Menteri yang juga alumni UM adalah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.





