TENGKU Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menjelaskan baginda mencadangkan beberapa nama pemain warisan – termasuk tujuh pemain – yang sedang dalam siasatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Tengku Abdul Rahman berkata, beberapa ejen menghubunginya sejak akhir tahun lalu untuk memperkenalkan pemain bagi tujuan penilaian.
Nama dicadangkan itu kemudian diserahkan kepada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk penilaian lanjut bagi menentukan kelayakan mereka sebagai pemain warisan.
Baginda memaklumkan, semua cadangan dikemukakan dibuat dengan niat baik dan melalui prosedur sah, untuk memperkukuh skuad Harimau Malaya.
“Saya memanjangkan cadangan kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan dan seterusnya dipertimbangkan untuk menyertai skuad kebangsaan.
“Antara pemain yang pernah saya syorkan kepada FAM termasuklah tujuh pemain warisan yang kini terbabit dalam kes siasatan dan sekatan oleh FIFA,” titahnya dalam satu kenyataan.
Tengku Abdul Rahman turut memberikan contoh beberapa pemain naturalisasi yang pernah dibuat oleh pasukan Pahang sebelum ini seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck – bagi memantapkan skuad Kebangsaan.
Baginda percaya penglibatan pemain warisan dan naturalisasi boleh memberi nilai tambah yang diperlukan kepada skuad negara.
“Setiap usaha yang dapat membantu mempertingkatkan standard bola sepak Malaysia akan sentiasa saya sokong,” titah baginda.
Tengku Abdul Rahman turut menyatakan penghargaan atas visi serta komitmen berterusan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam usaha meningkatkan kualiti bola sepak tanah air dan menjadikan kelab Johor Darul Ta’zim sebagai contoh terbaik.
“Bertitik tolak daripada semangat terbabit, saya juga ingin berkongsi sedikit sumbangan dan pengalaman saya dalam industri bola sepak, khususnya berkaitan proses naturalisasi – calon pemain serta pemain berpotensi – yang layak sebagai pemain warisan untuk mewakili skuad Kebangsaan,” titah baginda.







