PUTRAJAYA – Taufan Kalmaegi yang membadai Filipina dikesan berada kira-kira 400 kilometer (km) dari barat laut Kudat, Sabah, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
METMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan, Kalmaegi kini berada pada kedudukan latitud 12.5 utara dan longitud 116.1 timur, sekitar 627km ke Barat Laut Puerto Princesa, Filipina.
Berdasarkan pencerapan METMalaysia pada malam tadi, taufan itu bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30km/j dan potensi kelajuan maksimum ialah 194km/j.
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan berterusan di Sabah dan Labuan serta angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan,” jelas kenyataan itu.
Angka kematian akibat Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat melebihi 90 orang sehingga semalam, manakala puluhan lagi hilang dan cedera.
Secara keseluruhan, seramai 706,549 penduduk di 24 wilayah terjejas akibat taufan itu, termasuk 436,911 yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, menurut Pejabat Pertahanan Awam Filipina.




