Gobind Singh Deo
CYBERJAYA – Malaysia akan terus memperkukuh ekosistem pusat data melalui dasar jelas dan pembangunan bakat tempatan sebagai sebahagian matlamat jangka panjang menjadi negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Pasukan Petugas Pusat Data dipengerusikannya bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan menumpukan hala tuju dasar dan pemudahan pertumbuhan industri pusat data negara yang mampan.
“Walaupun kita menarik banyak pelaburan daripada syarikat global yang besar dan kebanyakannya sudah mula membangunkan pusat data di Malaysia, namun kita perlu meneliti cara untuk kita menumpukan kepada bakat yang ada di Malaysia,” katanya seperti dilapor Bernama.
Gobind berkata, kerajaan yakin dengan keupayaan syarikat tempatan dan mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia menubuhkan serta mengendalikan pusat data di dalam negara.
“Kejayaan Basis Bay (hari ini) menunjukkan syarikat tempatan mampu membina dan mengendalikan infrastruktur digital bertaraf dunia,” katanya.
Beliau menyatakan, pelaksanaan kerangka nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia Fasa 3 menunjukkan keseriusan kerajaan mentransformasikan landskap perindustrian dan digital.
“Akhirnya, semua usaha ini akan mendorong ke arah Negara AI 2030, yang mencerminkan komitmen kukuh untuk membina ekosistem melibatkan bukan sahaja pelabur global, malah juga juara tempatan kita sendiri,” katanya.
Malaysia telah menjadi antara pasaran pusat data paling dinamik di Asia Tenggara dipacu oleh penggiat tempatan serta keyakinan syarikat teknologi utama global.
Antara 2021 hingga 30 Jun 2025 sebanyak 143 projek pelaburan pusat data diluluskan dengan jumlah pelaburan bernilai RM144.4 bilion dan mewujudkan 1,429 peluang pekerjaan baharu.


