PHIL Foden meledak dua gol manakala Erling Haaland turut menjaringkan gol ketika Manchester City menewaskan Borussia Dortmund 4-1, awal pagi tadi.
Dua jaringan cantik Foden hadir tepat pada masanya bagi mengingatkan pengurus England, Thomas Tuchel, mengenai kualitinya sebelum jurulatih dari Jerman itu mengumumkan senarai akhir skuad kebangsaan, esok.
“Phil sudah kembali,” kata pengurus City, Pep Guardiola, merujuk kepada kesukaran Foden mendapatkan semula kecergasan dan prestasi musim lalu.
“Dia pemain istimewa, tapi kami memang perlukan jaringannya. Harap hari ini menjadi langkah pertama untuk dia melakukannya dengan lebih konsisten.”
Dinamakan sebagai kapten pada perlawanan itu, Haaland memimpin dari barisan hadapan dan langsung tidak menunjukkan belas kasihan terhadap bekas kelabnya, apabila meledak gol ke-27 untuk kelab dan negaranya dalam 17 perlawanan musim ini.
Gol saguhati Waldemar Anton menjadi sedikit pengubat buat Dortmund selepas kebangkitan lewat mereka, namun Rayan Cherki menutup pesta jaringan City pada masa kecederaan.
Kekalahan pertama dalam saingan Eropah musim ini menyaksikan kelab Jerman itu jatuh di tangga ke-14 kumpulan.
Guardiola memberikan lilitan kapten kepada Haaland selepas Bernardo Silva dan Ruben Dias direhatkan di bangku simpanan untuk pertemuan menentang Liverpool di Etihad, awal pagi Isnin ini.
Sebelum ini, Dortmund hanya tewas sekali dalam 14 perlawanan musim ini iaitu 1-2 kepada Bayern Munich bulan lalu.








