KUANTAN – Penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 dilihat sebagai ruang penting Kerajaan Pahang memberi pandangan menyeluruh melalui sesi libat urus bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkepentingan lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menangguhkan pembentangan RUU itu.
Katanya, langkah itu amat wajar kerana ia membolehkan pelbagai kebimbangan masyarakat terhadap RUU berkenaan diperjelaskan dan diambil kira sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang memainkan peranan meyakinkan Kerajaan Persekutuan dan KPKT agar sesi perbincangan dilanjutkan.
“UMNO berpendirian tegas bahawa kedudukan orang Melayu di bandar mesti terus dilindungi,” katanya kepada media selepas majlis Inisiatif Makmur di Pekan, hari ini.
Wan Rosdy menjelaskan, walaupun perlindungan itu menjadi keutamaan, masyarakat Melayu juga wajar menikmati peningkatan kualiti hidup dengan peluang memiliki kediaman lebih selesa, tersusun dan bersih.
“Adalah tidak wajar jika golongan tersebut terus terikat dengan kediaman flat lama yang sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial.
“Sehubungan itu, rang undang-undang baharu yang akan digubal kelak perlu mengambil kira keseimbangan kedua-dua kepentingan, iaitu melindungi kedudukan orang Melayu di bandar, selain memastikan kesejahteraan hidup mereka terjamin,” katanya.
Wan Rosdy menegaskan Kerajaan Negeri akan terus komited memberikan pandangan serta cadangan demi memastikan dasar atau undang-undang digubal benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.





