
BAGAN DATUK – Mayat seorang lelaki warga Myanmar berusia 35 tahun ditemui terapung berhampiran jeti sebuah syarikat perikanan di Jalan Parit 25, Tanjung Bayan, dekat Hutan Melintang, di sini pada Sabtu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis kira-kira jam 12.15 tengah hari selepas penemuan itu dimaklumkan oleh orang awam.
Menurut beliau, sepasukan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang digerakkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa.
“Setibanya di lokasi, pihak polis mengesahkan mangsa adalah lelaki warga Myanmar berumur 35 tahun. Ketua operasi kemudian membuat penilaian dan mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan kerja-kerja mengangkat mayat.
“Mangsa dibawa naik ke jeti menggunakan pukat nelayan dan kren milik nelayan tempatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.55 petang.





