
KOTA BELUD – Tamu Besar Kota Belud bukan sahaja menarik kehadiran pelancong malah mengangkat keindahan dan keunikan kepelbagaian budaya tempatan termasuk menjadi lambang perpaduan rakyat yang erat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan negeri akan terus menyokong dan membangunkan potensi setiap daerah di Sabah termasuk memajukan sosioekonomi, pelancongan dan kebudayaan masyarakatnya yang unik.
“Sudah pasti penganjuran tamu besar secara tahunan ini berperanan besar dalam menarik pelancong selain mempromosikan keindahan budaya tempatan.
“Tamu besar ini juga menjadi lambang perpaduan kerana tamu adalah medan pertemuan sosial rakyat berbilang kaum dan agama seperti masyarakat Bajau, Kadazandusun, Iranun dan Cina, yang terus kekal sehingga kini.
“Saya berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya sempena Tamu Besar Kota Belud 2024 di Padang Pekan Kota Belud, di sini pada Sabtu.
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Tamu Besar tahun ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, sukan rakyat, serta pameran dan jualan produk kraf.
Dalam pada itu, Hajiji juga menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk memperhebatkan inisiatif pelancongan inklusif dengan memperluas promosi dan mengembangkan jaringan laluan udara ke Sabah.
“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini dari Januari hingga Ogos adalah kira-kira 2.1 juta orang dengan pelancong antarabangsa seramai 867,231 manakala 1.2 juta adalah pelancong domestik.
“Ini menunjukkan potensi besar Sabah sebagai destinasi pelancongan, dan saya yakin dengan perancangan strategik yang telah diatur, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya, dan alam semula jadi dengan lebih daripada 30 lokasi pelancongan yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau dan sungai,” kata beliau.
Tambah Hajiji, Tamu Kota Belud adalah salah satu tamu tertua di Sabah, sudah menjangkau lebih daripada 100 tahun usianya.
“Selain sebagai pusat perdagangan, Tamu Kota Belud juga tempat untuk penghasilan dan penjualan pelbagai produk tempatan, seperti hasil pertanian dan kraftangan.
“Di sini, para pengunjung boleh mendapatkan barangan berkualiti pada harga yang berpatutan,” ujarnya.





