
LAWAS – Sebanyak 2,500 benih ikan siakap dilepaskan di perairan laut di Kampung Awat-Awat.
Ketua Wilayah Perikanan III Pejabat Perikanan Laut Wilayah III Miri Muhamad Saini berkata, sumber perikanan perlu dijaga dan ditingkatkan pendaratan sosialnya sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan melalui Pelan Pengurusan Perikanan Melalui Pendekatan Ekosistem (EAFM).
Selain itu, ujar Muhamad Saini, jawatankuasa EAFM juga diharap dapat mencadangkan program kepada pihak perikanan laut Sarawak untuk memantapkan lagi EAFM di Lawas.
“Jabatan Perikanan Laut juga mengadakan program melibatkan pelajar sekolah dengan memberi pendedahan pendidikan alam bermula peringkat awal,” kata Muhamad Saini yang mewakili Pemangku Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Liza Long untuk merasmikan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum sempena Hari Perikanan Sedunia 2024.
Sementara itu, sambutan Hari Perikanan Sedunia 2024 turut diraikan untuk masyarakat nelayan dan ahli keluarganya.
Selain itu, 13 nelayan turut menerima bantuan Personal Locator Beacon (PLB).
Turut hadir Ketua Daerah Perikanan Daerah Lawas Priscilla Puyang, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sundar Muhamad Iqmarudin dan Ketua-Ketua Masyarakat.





