
IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan seramai 115 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Negeri Perak menyampaikan khutbah Jumaat esok, sempena sambutan Hari Guru 2025.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda turut menitahkan agar khutbah Jumaat esok bertemakan “Guru Rabbani: Membangun Kemuliaan Insan.”
Menurut beliau, senarai 115 pegawai pendidikan tersebut telah diperakukan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak untuk diangkat sembah dan mendapat perkenan Sultan Nazrin sebagai khatib jemputan.
“Inisiatif ini adalah pengiktirafan terhadap peranan penting para pendidik.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan agar mereka menyampaikan khutbah Jumaat pada 16 Mei 2025 di 115 masjid seluruh negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, teks khutbah khas bersempena Hari Guru itu telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan akan dibacakan serentak oleh para guru yang dilantik sebagai khatib jemputan.