
KANGAR – Seorang nelayan maut selepas dipercayai dipanah petir ketika berada di atas bot di perairan Kuala Sungai Padang, Simpang Empat di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 malam ketika mangsa, Muhamad Faiez Othman, 28, sedang memukat udang bersama seorang rakannya.
“Mangsa bersama rakannya keluar dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang ke perairan tersebut sekitar pukul 7 malam.
“Hujan mulai turun sekitar pukul 9.50 malam disertai kilat menyambar menyebabkan mangsa membuat keputusan untuk berpatah balik ke jeti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, ketika dalam perjalanan pulang, satu sambaran petir berlaku berhampiran bot mereka dan mangsa dilihat rebah secara tiba-tiba sebelum rakannya mematikan enjin bot.
“Rakan mangsa kemudian mendekati dan mendapati mangsa tidak lagi memberi sebarang respons sebelum segera meminta bantuan nelayan lain yang berada berhampiran.
“Mangsa dibawa semula ke Jeti LKIM Kuala Sanglang sebelum dibantu untuk dipindahkan ke jeti,” jelasnya.
Katanya, ambulans dari Klinik Kesihatan Kuala Sanglang tiba di lokasi pada pukul 10.25 malam sebelum membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Pemeriksaan pegawai perubatan HTF pada pukul 10.50 malam mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Menurut Yusharifuddin, hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat pendarahan pada telinga kiri serta kesan melecur di bahagian paha kanan mangsa yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek hitam.
“Mangsa yang tinggal di Jalan Persisiran Pantai Kuala Sanglang itu difahamkan telah lama bekerja sebagai nelayan di kawasan berkenaan.
“Mayat mangsa kini ditempatkan di unit forensik HTF untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.
/Habis





