
MALAYSIA mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan kehadiran pemimpin dan delegasi asing, sekali gus memastikan persiapan rapi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang bakal berlangsung di ibu negara pada Oktober depan.
Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, pengalaman itu membuktikan aspek logistik, keselamatan dan penghormatan kepada pemimpin luar sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Malaysia tidak berdepan masalah seperti yang berlaku di New York ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron, tersangkut akibat trafik.
“Di Kuala Lumpur, persediaan melibatkan perlindungan, pengurusan trafik dan penghormatan kepada pemimpin asing sentiasa dititikberatkan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.

Mengulas peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, beliau berkata, pendekatan berhemah ditonjolkan negara ketika berdepan isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) pada era pentadbiran Donald Trump.
Menurutnya, Malaysia menasihatkan negara anggota ASEAN supaya tidak bertindak balas secara kolektif, sebaliknya menyelesaikan isu tarif melalui rundingan dua hala kerana setiap negara mempunyai cabaran berbeza.
“Pendekatan itu dipersetujui kesemua sembilan negara anggota ASEAN yang lain dan membuktikan kewibawaan Malaysia selaku pengerusi,” katanya.
Azmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut giat membuka ruang pasaran lebih luas bukan sahaja untuk Malaysia, malah negara ASEAN lain melalui lawatan ke Itali, Brazil dan Perancis, selain pertemuan dengan negara Teluk serta China.
Katanya, usaha berterusan itu menunjukkan komitmen Malaysia memperkukuh jaringan perdagangan global, sekali gus meneguhkan kedudukan ASEAN di pentas antarabangsa.




