KOTA TINGGI – Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing, petang semalam.
Mangsa maut dikenali Rubita Mohamad, 51, dan anaknya Nur Insyirah Syakirah Kamilin, 14.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 7.15 petang melibatkan kereta Proton Persona dinaiki sebuah keluarga dan sebuah Perodua Bezza.
Menurutnya, Proton Persona dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun bersama dua penumpang berusia 51 tahun dan 14 tahun, manakala Perodua Bezza dipandu warga tempatan berusia 27 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Pesona masuk laluan bertentangan lalu bertembung Perodua Bezza.
“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penumpang Proton Persona telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala pemandu kereta tersebut pula mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke unit rawatan rapi Hospital Sultan Ismail bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.
Katanya, pemandu Perodua Bezza tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan masih dalam siasatan pihak polis.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh tampil menyalurkan maklumat di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi membantu siasatan,” katanya lagi.





