
DALAM landskap ekonomi global yang tidak menentu, keupayaan kerajaan mengawal rantaian bekalan domestik terus menjadi penentu kepada kestabilan negara.
Pelaksanaan Ops Tiris oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilihat sebagai respons tegas Kerajaan MADANI dalam membanteras ketirisan serta penyeludupan barangan kawalan secara lebih tersusun dan berimpak.
Berdasarkan data penguatkuasaan menunjukkan rampasan harian mencecah RM641,769, sekali gus menggambarkan skala penyelewengan yang masih membimbangkan, namun dalam masa sama mencerminkan peningkatan kecekapan pihak berkuasa dalam menanganinya.
Ops Tiris turut memperkenalkan pendekatan smart enforcement yang menggabungkan risikan, analisis rantaian bekalan dan tindakan bersasar di lokasi berisiko tinggi.
Pendekatan ini mengubah landskap penguatkuasaan daripada bersifat reaktif kepada lebih proaktif dan berasaskan data.

Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan utama negara, khususnya di bawah penyelarasan KDN, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen termasuk Angkatan Tentera Malaysia.
Tumpuan terhadap barangan kawalan seperti minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), gula dan tepung disifatkan tepat dalam konteks krisis bekalan global, memandangkan komoditi berkenaan sering menjadi sasaran manipulasi pasaran.
Selain itu, operasi bersepadu ini memperlihatkan keberkesanan kerjasama antara agensi, sekali gus menamatkan pendekatan silo yang tidak lagi relevan.
Penyelarasan melibatkan aspek penguatkuasaan, logistik dan kawalan sempadan menjadi kekuatan utama dalam menutup ruang ketirisan.

Ops Tiris juga mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan tadbir urus baik, integriti serta keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, dengan pendekatan yang bukan sahaja menghukum, tetapi memastikan pengagihan sumber negara berlaku secara adil dan telus.
Bagaimanapun, kesinambungan usaha ini memerlukan sokongan menyeluruh termasuk kesedaran masyarakat, pematuhan pihak industri serta penambahbaikan sistem pengagihan agar lebih efisien dan telus.
Secara keseluruhan, Ops Tiris bukan sekadar operasi penguatkuasaan, tetapi simbol komitmen kerajaan dalam melindungi kepentingan rakyat dengan memastikan bekalan asas kekal stabil, mencukupi dan diyakini.
Sumber: Kementerian Dalam Negeri





