
KOTA KINABALU – “Saya tidak akan berhenti memperjuangkan sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita,” kata Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
“Kita akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat setiap perkembangan kes ini kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Rabu.

Ia susulan daripada kes pemergian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Marathir, pelajar Tingkatan 1 yang dilaporkan jatuh dari tingkat 3 bangunan Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Julai lepas.
Menurut Izzah, beliau mengikut rapat perkembangan kes itu dan akhirnya berpeluang bertemu dengan ibu Zara, Noraidah Lamat secara bersemuka.
Jelasnya, dua minggu lepas, beliau terbang ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur untuk bertemu namun, ibu Zara masih belum bersedia untuk berjumpa.
“Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepadanya secara bersemuka.
“Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali. Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasa kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara.
“Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat dan ceria,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Zara sebagai anak yang sopan, berakhlak mulia dan berpegang teguh pada ajaran agama.
“Zara seperti anak kita semua. Pemergian Zara telah menyatukan kita semua merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa, berusaha dan bertawakal demi keadilan serta kebenaran agar roh Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.







