
PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan sekatan akses akaun media sosial bagi pengguna berusia bawah 16 tahun yang dijangka dilaksanakan seawal hujung Jun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh perlindungan dalam talian, namun masih tertakluk kepada penelitian akhir.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan ‘regulatory sandbox’ (medan uji) dengan platform media sosial untuk mengenal pasti mekanisme yang pada waktu ini dilaksanakan oleh penyedia platform.
“Yang kedua, untuk menyeragamkan dengan mekanisme yang mungkin kita harapkan (dan) kita tidak mahu sekadar disebut sebagai ‘age assurance’ (jaminan umur) tapi ‘age verification’ (pengesahan umur) kerana Malaysia dalam konteks perundangannya berbeza yang mana kita mempunyai dokumen rasmi kerajaan iaitu MyKad,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan perbincangan terperinci dengan platform media sosial di Singapura pada Jumaat lalu bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan sekatan tersebut.
“Sekarang dalam proses meneliti dan mereka (MCMC) akan bawa kepada perhatian saya, mungkin dalam seminggu yang akan datang. Kemudian kita akan putuskan, kita harap akan dapat laksanakan sekatan ini mungkin Jun atau Julai ini,” katanya.
Fahmi berkata, beberapa platform media sosial turut menyatakan kesediaan untuk melaksanakan sekatan berkenaan, dengan hasil perbincangan lanjut dijangka dibentangkan dalam masa terdekat sebelum keputusan dimuktamadkan.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang melaksanakan medan uji bersama platform media sosial bagi memperkenalkan had umur 16 tahun untuk pendaftaran akaun baharu.
Menurutnya, pendekatan Malaysia berbeza daripada model ‘age assurance’ yang digunakan di Australia kerana negara ini mempunyai perundangan khusus serta dokumen rasmi seperti MyKad yang boleh dimanfaatkan sebagai elemen tambahan dalam pengesahan identiti dan umur pengguna.
Pada masa sama, media melaporkan sekatan akses media sosial terhadap kanak-kanak semakin meluas di peringkat global selepas Australia melarang penggunaan platform berkenaan bagi individu bawah 16 tahun susulan kebimbangan terhadap kesan negatif kepada golongan muda.
Untuk rekod, Australia meluluskan undang-undang melarang akses kepada platform media sosial bagi pengguna bawah umur 16 tahun yang berkuat kuasa pada 10 Disember lalu.






