PUTRAJAYA – Tindakan tegas diambil terhadap penyebaran berita palsu mengenai kenaikan harga bahan api yang dikaitkan dengan krisis di Asia Barat apabila seorang individu akan didakwa, manakala lima lagi dikenakan kompaun.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan kes berkenaan.
“Jabatan Peguam Negara memutuskan satu kes untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, lima kes ditawarkan kompaun, dan empat kes diberikan Surat Amaran.
“Susulan itu, MCMC mengeluarkan lima tawaran kompaun kepada individu terbabit dengan nilai kompaun sebanyak RM25,000 setiap seorang,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan, semua tindakan tersebut adalah hasil siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam,” katanya.






