
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa sebanyak 15 unit telefon pelbagai jenama bersama kad SIM diterima dalam satu plastik lut sinar pada dua tarikh berasingan, iaitu 8 dan 19 Ogos 2025, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Papar, menurut keterangan saksi ke-70 dalam inkues melibatkan Zara Qairina Mahathir.
Saksi ke-70, Asisten Superintenden Polis (ASP) Mohd Zaidi Abu Hassan yang merupakan seorang Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, Polis Diraja Malaysia (PDRM), 44, berkata, antara jenama telefon yang diterimanya seperti iPhone tiga (3) unit, Oppo (4), Realme (1), Vivo (5), Honor (1) dan Samsung (1).
Menurutnya, serahan pertama pada 8 Ogos, beliau menerima 11 unit telefon, manakala serahan kedua pada 19 Ogos sebanyak empat unit telefon beserta kad SIM.
“Saya menjalankan analisis terhadap barang kes ini dengan menggunakan peralatan (software) XRY untuk telefon bimbit. Sebelum analisa dibuat, saya telah memastikan barang kes yang diterima dalam keadaan baik.
“Kemudian, saya menyambungkan kabel di barang kes dan memulakan analisis barang kes. Saya menganalisa berpandukan kepada standard ISO 17025 dan NIST (National Institute of Standard and Technology),” katanya ketika memberi kenyataan, di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan terhadap telefon bimbit itu telah diekstrak bermula pada 11 Ogos untuk serahan pertama, manakala serahan kedua bermula pada 20 Ogos 2025.
Katanya, serahan pertama beliau mengambil masa selama enam hari manakala serahan kedua selama tiga hari.
Antara soalan yang ditanyakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DBP) kepada saksi tersebut (ASP) adalah seperti berikut:
DBP: Apabila ASP menyatakan gambar ‘delete’, adakah ASP hanya memfokuskan pada gambar ‘delete’ sahaja atau maklumat ataupun data lain yang telah di-‘delete’?
ASP: Untuk data yang telah di-‘delete’, saya tidak memfokuskan mana-mana maklumat. Saya hanya keluarkan apa yang XRY dapat keluarkan, sama ada dah di-‘delete’ ataupun belum di-‘delete’.
DBP: Secara amnya, apa-apa maklumat yang telah di-‘delete’ daripada telefon bimbit, adakah dapat diekstrak semula menggunakan ‘software’ XRY?
ASP: Ada telefon bimbit yang kita dapat ekstrak data yang telah di-‘delete’ dan ada telefon bimbit yang kita tak dapat ekstrak data tersebut, data yang di-‘delete’ tersebut.
DBP: Boleh jelaskan kepada mahkamah, mengapakah terdapat data yang telah di-‘delete’ boleh diekstrak dan terdapat juga data yang telah di-‘delete’ tidak boleh diekstrak? Apa beza?
ASP: Kalau mengikut perisian XRY ini, ada telefon bimbit yang dapat keluarkan data dan ada jenis telefon bimbit yang kita tak dapat keluarkan data. Kalau untuk kes ini, saya dapat keluarkan data yang di-‘delete’ daripada telefon bimbit jenama iPhone. Untuk telefon bimbit android, saya tidak dapat keluarkan data yang di-‘delete’.
DBP: Bagi kes ini, apakah data ataupun maklumat yang telah di-‘delete’ dan dapat di-‘recover’?
ASP: Seperti saya cakap di atas tadi, seingat saya ada telefon bimbit yang saya dapat ‘recover delete’ itu, telefon bimbit iPhone. Tapi saya tak pasti yang tandaan mana satu.
Terdahulu, Allahyarhamah Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding Inkues akan bersambung semula pada esok hari dengan saksi yang sama.




