KOTA KINABALU – Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan secara prinsip projek tenaga berkapasiti 723MW, termasuklah loji jana kuasa gas di Kimanis dan Tawau (360MW), serta projek tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan angin (363MW) bagi memenuhi permintaan elektrik jangka sederhana negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau menegaskan setiap keputusan MTS mestilah dibuat secara seimbang dan berhemah bagi kebaikan bersama.
““Ini adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri, keperluan sektor industri serta kemampuan pengguna untuk menanggung kos penjanaan tenaga yang berpatutan.
“Saya percaya dengan iltizam dan kerjasama semua pihak, MTS akan terus menjadi platform tertinggi dalam menyelaras dasar tenaga negeri secara bersepadu demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya di Menara Kinabalu pada Selasa.
Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan mengenai beberapa projek ‘fast-track’ yang telah diluluskan MTS pada tahun lalu, kini menunjukkan hasil, termasuklah peningkatan jidar simpanan penjanaan tenaga daripada 10 peratus pada Januari 2023 kepada 17 peratus kini dan ia dijangka akan mencecah 30 peratus menjelang akhir tahun ini.
Jelasnya, bukan itu sahaja, projek ‘fast-track’ yang diluluskan oleh MTS turut menyumbang kepada pengurangan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) di Sabah, iaitu daripada 363 minit dalam separuh pertama 2023 kepada 215 minit pada 2024 seterusnya turun kepada 162 minit dalam tempoh sama tahun ini.
Pada masa sama, Hajiji turut menggesa pemerkasaan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) bagi memainkan peranan lebih besar dalam landskap tenaga Sabah.






