
KOTA KINABALU – Keharmonian beragama di Sabah dilihat mampu menjadi contoh kefahaman tentang ‘Islam Rahmah’ yang diketengahkan menerusi Program Seminar Antarabangsa Du’at Al-Falah.
Pengerusi program, Dr. Amer Hudhaifah Hamzah berkata, menerusi program di peringkat Sabah ini kefahaman tentang Islam Rahmah iaitu Islam yang mudah dan lebih harmoni akan dapat diketengahkan kepada para peserta.
“Buat pertama kalinya Seminar Antarabangsa Du’at Al-Falah Borneo ini dianjurkan, menumpukan peserta-peserta daripada kalangan guru-guru agama, asatizah, penggerak-penggerak NGO serta daripada pelajar antarabangsa dan sebagainya.
“Jadi di sini kami akan membincangkan bagaimana dalam konteks Sabah kita boleh mewujudkan satu hubungan antara umat Islam dan bukan Islam secara harmoni yang sebenarnya Sabah lebih maju daripada Semenanjung dari segi itu.
“Semenanjung mempelajari perkara itu daripada Sabah seperti yang telah disebutkan oleh Pengerusi Du’at Al-Falah peringkat antarabangsa, Ustaz Ahmad Faiz Fatih Al-Azhari,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Seminar Antarabangsa Du’at Al-Falah Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ustaz Ahmad Faiz berkata seminar itu akan menumpukan kepada penerapan enam nilai-nilai Madani yang diangkat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Cuma penerapannya itu melalui cara diskusi ilmiah yang sesuai dengan realiti di Sabah seperti yang dibentangkan Mufti Sabah dalam seminar tadi bahawa ada perbezaan sedikit pendekatan pendakwah-pendakwah Islam di Sabah dengan di Semenanjung.
“Di Sabah lebih terbuka, jadi kita mahu supaya budaya di Sabah ini kekal harmoni antara semua kaum dan juga agama supaya tidak terbawa-bawa budaya-budaya ekstremis daripada mana-mana pihak ke negeri Sabah.
“Jadi kita nak terapkan keistimewaan ini yang mana kita memilih hukum yang membawa kepada keharmonian agar di negara ini tidak asyik mahu sensasikan atau sensitifkan urusan agama,” katanya.
Tambahnya, program Du’at Al-Falah juga memilih untuk bekerjasama dengan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah kerana mementingkan autoriti dalam bidang dakwah di Malaysia.
“Untuk berbicara tentang agama tidak boleh sembarangan, pihak yang ada autoriti perlu lebih ke depan, jangan cepat percaya dengan pempengaruh popular di media sosial.
“Maka kita datangkan fakulti ini supaya masyarakat tahu yang bercakap mesti orang yang berautoriti, ini untuk menyekat salah faham tentang agama, pergaduhan masyarakat dan sebagainya,” ujarnya.
Perasmian program disempurnakan oleh Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi yang dihadiri oleh Penolong Naib Canselor (Strategik) Prof. Dr Mohammad Saffrree Jeffree mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Datuk Kasim Mansor dan disertai 150 peserta yang terdiri daripada Brunei, Indonesia dan Malaysia.