Harga minyak mentah dijangka menurun tahun ini

KUALA LUMPUR – Harga minyak mentah Brent dijangka lebih rendah pada purata AS$70 setong pada 2025 di tengah-tengah persekitaran lebihan bekalan, seperti yang diunjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA).

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, unjuran harga purata yang lebih lemah, berbanding dengan harga AS$80 setong tahun lalu disebabkan oleh pengeluar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan Sekutunya (OPEC+) akan melaksanakan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari (bpd) selama 18 bulan bermula dari April 2025.

“Ini boleh menyebabkan peningkatan inventori pada 2025 dan memberi tekanan ke bawah untuk harga minyak,” katanya.

Pada masa ini, OPEC+ mengurangkan pengeluaran sebanyak 5.86 juta tong sehari yang mewakili kira-kira enam peratus daripada permintaan minyak global, berdasarkan janji yang dibuat sejak 2022.

Maybank IB menekankan bahawa IEA dalam Laporan Pasaran Minyak Disember 2024, menjangkakan bekalan minyak mentah meningkat kepada 104.8 juta tong sehari pada 2025, walaupun tanpa membatalkan pemotongan daripada OPEC+.

“Pertubuhan itu juga mengunjurkan penggunaan akan meningkat kepada 103.9 juta bpd, naik sebanyak 1.1 juta bpd pada 2025,” ujarnya.

Maybank IB berkata, EIA menerusi laporan Tinjauan Tenaga Jangka Pendek Nov 2024 mengunjurkan lebihan minyak mentah bersih pada 2025 dengan pengeluaran global pada 104.66 juta bpd, mengatasi 104.36 juta bpd.

“Ini menghasilkan lebihan sebanyak 0.3 juta bpd pada 2025,” katanya.

Dari segi sektor, Maybank IB mengekalkan pendirian positif terhadap sektor minyak dan gas tetapi bersifat selektif terhadap industri pertengahan yang defensif dan kapal penyimpanan, pengeluaran dan pemunggahan terapung (FPSO) seperti Dialog Group Bhd dan Bumi Armada Bhd.

“Kami melihat potensi yang cerah dalam pasaran FPSO global kerana syarikat penyelidikan tenaga bebas yang berpangkalan di Norway, Rystad Energy menganggarkan pengeluaran luar pesisir akan dipacu oleh perairan laut dalam (kedalaman 125 hingga 1,500 meter) dan perairan sangat dalam (kedalaman lebih 1,500 meter) dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) masing-masing sebanyak 2.2 peratus dan lapan peratus dari 2024 hingga 2030,” katanya.

Maybank IB berkata, Rystad juga mengunjurkan sejumlah 64 anugerah FPSO dari 2025-2030.

“Yinson Holdings Bhd dan Bumi Armada adalah penerima manfaat daripada kitaran menaik ini.

“Bagaimanapun, di dalam negara pula, peralihan tanggungjawab dan kawalan perdagangan gas kepada Petroleum Sarawak Bhd (Petros) daripada Petronas boleh memberi kesan kepada hasil dan aliran tunai syarikat minyak negara,” katanya.

Maybank IB berkata, penangguhan perbelanjaan modal Petronas mungkin disebabkan sebahagian besar daripada hasil perniagaannya telah hilang.

“Sehubungan itu, projek penerokaan dan kerja-kerja pengeluaran selanjutnya mungkin ditangguhkan sehingga kedua-dua pihak mencapai resolusi bersama.

“Kami menjangkakan ini memberi kesan kepada pemain perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas yang terdedah dalam subsegmen penerokaan dan pembangunan, terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian dan penyambungan serta pentauliahan,” tambahnya.

Related Posts

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjaya dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap seorang pengguna media sosial iaitu Muhamad Zubair Ismail atau dikenali sebagai ‘Tam Jebat’.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Konflik Asia Barat tidak ganggu penerbangan domestik – Loke

PUTRAJAYA – Konflik geopolitik yang berlaku di rantau Teluk ketika ini tidak menjejaskan operasi penerbangan domestik di negara ini. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini tiada penerbangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

Nenek palsukan maklumat kelahiran cucu didenda RM1,500

Nenek palsukan maklumat kelahiran cucu didenda RM1,500

JAKIM salur RM17.19 juta peruntukan kepada Perlis

JAKIM salur RM17.19 juta peruntukan kepada Perlis

Kanak-kanak Pasti jadi mangsa pertama mercun di Kedah, putus jari telunjuk

Kanak-kanak Pasti jadi mangsa pertama mercun di Kedah, putus jari telunjuk

Konflik Asia Barat tidak ganggu penerbangan domestik – Loke

Konflik Asia Barat tidak ganggu penerbangan domestik – Loke

109 asnaf, enam penerima Perkeso terima sumbangan makanan

109 asnaf, enam penerima Perkeso terima sumbangan makanan