
MUKAH – Sebanyak empat institusi dan jawatankuasa komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian menerima manfaat melalui inisiatif Bantuan Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Mukah bagi tahun 2026.
Bantuan berjumlah RM50,000 itu diserahkan bertujuan memperkukuh pembangunan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat pada peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, peruntukan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan penduduk luar bandar terus terpelihara.
“Peruntukan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua penerima, sama ada untuk meningkatkan kemudahan sekolah mahupun memperkukuh aktiviti kemasyarakatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan tersebut pada Rabu.
Dalam majlis tersebut, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Sikat menerima peruntukan sebanyak RM20,000.
Tiga lagi penerima iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Randi Ak Ugil, Rumah Empi Ak Daweh dan Rumah Minggu Ak Garung masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM10,000.
Menurut Royston, pendekatan CSR oleh agensi kerajaan seperti JTS sangat penting dalam merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak positif dan berpanjangan kepada rakyat.

“Kita mahu pastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan perdana,” tegasnya lagi.
Turut hadir Pegawai Tanah JTS Mukah, Norhafizawati Hasbi; wakil Pegawai Daerah Mukah, SAO Christopher Maurice serta ketua-ketua masyarakat setempat.



