TAWAU – Seramai 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, pada Rabu atas pertuduhan pakat jahat jenayah penipuan insuran dan menyamar menjadi polis China.
Kesemua tertuduh, 78 warga China, masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos berumur 17 hingga 45 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin dihadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut pertuduhan, Kesemua mereka didakwa dengan niat bersama terlibat dalam pakat jenayah melakukan sesuatu perbuatan yang salah di sisi undang-undang iaitu memperdaya mangsa dalam penipuan insuran melalui panggilan video dan telefon kepada mangsa dan menyamar sebagai Polis Negara China yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Tawau pada 7 April lepas kira-kira pukul 9.25 pagi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan 57 tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan dua penjamin rakyat tempatan, manakala 23 lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana turut berdepan kesalahan imigresen.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 25 Mei hadapan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam manakala sembilan tertuduh diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, 22 tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lagi tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) (pindaan 2002) akta yang sama kerana tinggal lebih masa di negara ini.
Pengakuan itu dibuat dihadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes pada 25 Mei hadapan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Abdul Rani Alias berkata, pada 7 April lepas, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Tawau, BSJKD Sandakan dan BSJKD Keningau menjalankan serbuan di sebuah premis di Tawau kerana disyaki dijadikan sebagai “Pusat Panggilan” (Calling Centre) yang menjalankan aktiviti penipuan.
“80 individu termasuk empat wanita ditahan dan pihaknya merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan bagi tujuan menjalankan aktiviti penipuan iaitu tiga set komputer, 36 unit telefon bimbit, 15 keping skrip penipuan dalam Bahasa Mandarin, lapan keping salinan kertas mengandungi nombor telefon dan tiga pasang pakaian seragam pegawai polis luar negara.
“Siasatan mendapati suspek terlibat dalam menjalankan aktiviti penipuan secara atas talian dengan menyamar sebagai pegawai polis luar negara yang menyasarkan warganegara asing yang berada di luar Malaysia.
“Kesemua individu yang ditangkap dipercayai memasuki negeri Sabah menggunakan Pas Lawatan Sosial dan aktiviti ini telah beroperasi selama dua bulan lebih,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Justeru, beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penipuan secara atas talian.




