
DOHA – Qatar mengesahkan bahawa rundingan untuk mencapai perjanjian gencatan senjata antara Palestin dengan Israel masih lagi berjalan seperti biasa namun belum menemui kata putus mengenai bila ia akan dilaksanakan.
Menurut kenyataan Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Majed Al-Ansari yang turut merangkap penasihat Perdana Menteri Qatar, menekankan bahawa perbincangan masih berada pada tahap ‘teknikal’ dan mengulangi komitmen Qatar untuk meneruskan usaha menjadi orang tengah walaupun menghadapi cabaran, lapor Anadolu.
“Qatar sentiasa percaya pada keperluan untuk meneruskan usaha-usaha ini, tidak kira betapa sukarnya keadaan,” katanya.
Jumaat lalu, delegasi Israel kembali ke Doha untuk menyambung rundingan tidak langsung dengan kumpulan Palestin, Hamas, yang dipengerusikan oleh Qatar dan Mesir bagi mencapai pertukaran tahanan dan mengamankan gencatan senjata.
Al-Ansari berkata, wakil daripada semua pihak bertemu secara berkala di Doha dan Kaherah tetapi memberi amaran bahawa tiada garis masa atau jangkaan khusus penamatan untuk rundingan tersebut.
“Kami akan mengumumkan sebarang hasil dan tindakan langsung sebaik sahaja ia dicapai,” ujarnya.
Sejak setahun yang lalu, Hamas telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyelesaikan perjanjian dan bahkan bersetuju pada Mei 2024 dengan cadangan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Namun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menarik diri daripada perjanjian itu dengan memperkenalkan syarat-syarat baru, termasuk meneruskan operasi ketenteraan di Gaza dan enggan menarik balik tentera, manakala Hamas berkeras mahu menghentikan sepenuhnya permusuhan dan penarikan tentera Israel.
Pengkritik, termasuk parti pembangkang Israel dan keluarga tawanan, menuduh Netanyahu menghalang perjanjian untuk melindungi kedudukan politiknya.
Barisan kementerian utama dalam gabungannya, termasuk Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, mengancam untuk meninggalkan kerajaan dan menjatuhkan Netanyahu sekiranya gencatan senjata diterima.
Israel menahan lebih 10,300 tahanan Palestin, manakala Hamas dikatakan menahan sekitar 100 tawanan Israel di Gaza, namun puluhan tahanan telah meninggal dunia akibat serangan udara Israel secara sembarangan.
Tentera Israel telah meneruskan perang pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang telah membunuh hampir 46,000 orang, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, sejak serangan rentas sempadan pada 7 Oktober 2023.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang terhadap wilayah tersebut.