
KOBBIE Mainoo muncul wira Manchester United apabila meledak gol kemenangan 3-2 ke atas musuh tradisi, Liverpool, sekali gus mengesahkan kepulangan The Red Devils ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas dua tahun tersisih.
Dalam aksi penuh mendebarkan di Old Trafford, Mainoo mencuri tumpuan apabila melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-77 bagi menghadiahkan tiga mata berharga buat tuan rumah.
Kemenangan itu menyaksikan United yang kini menghuni tangga ketiga liga mengumpul 64 mata dengan hanya tiga perlawanan berbaki dan jumlah mata itu menjamin tempat mereka ke UCL musim depan.
United bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Matheus Cunha sebelum Benjamin Sesko menggandakan kelebihan lapan minit kemudian untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0.
Bagaimanapun, Liverpool bangkit pada babak kedua selepas kesilapan pemain United dan membuka ruang buat Dominik Szoboszlai merapatkan jurang pada minit ke-47 sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Mainoo tampil tenang menyempurnakan peluang keemasan untuk memastikan kemenangan memihak kepada United.
Jaringan tersebut bukan sahaja menundukkan seteru utama, malah mengangkat semula maruah United untuk kembali bersaing di pentas tertinggi bola sepak Eropah musim depan.





