
BEIJING – China menegaskan tidak akan mematuhi sekatan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap lima syarikatnya yang didakwa membeli minyak dari Iran.
Kementerian Perdagangan China dalam kenyataan hari ini, berkata tindakan AS itu tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa serta norma asas hubungan antarabangsa.
Katanya, China sebagai antara pelanggan utama minyak Iran banyak bergantung kepada kilang penapisan bebas berskala kecil atau dikenali sebagai teapot, yang memperoleh bekalan minyak mentah pada harga diskaun daripada republik Islam berkenaan.
“Langkah sekatan AS itu tidak akan diiktiraf, dilaksanakan atau dipatuhi,” katanya.
AS sebelum ini meningkatkan sekatan terhadap kilang penapisan terbabit dalam usaha menyekat sumber pendapatan Tehran.
Kementerian berkenaan turut menegaskan, sekatan unilateral tanpa kebenaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tanpa asas undang-undang antarabangsa sentiasa ditentang negaranya.
Arahan itu membabitkan tiga syarikat berpangkalan di wilayah Shandong iaitu Shandong Jincheng Petrochemical Group, Shandong Shouguang Luqing Petrochemical dan Shandong Shengxing Chemical.
Dua lagi syarikat yang turut terbabit ialah Hengli Petrochemical (Dalian) Refinery dan Hebei Xinhai Chemical Group.






