
PUTRAJAYA – Gembira, syukur dan lega, itu antara reaksi rakyat Malaysia selepas disahkan layak menerima subsidi RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan Kerajaan MADANI, pada Isnin lalu.
Kalau sebut sahaja berkenaan minyak, masyarakat awam pastinya ‘pasang telinga’ berikutan minyak bukan sekadar bahan bakar, tapi urat nadi perjalanan harian kita. Harga di pam petrol itulah menjadi penentu lega bagi setiap hujung bulan.
Sejak semalam, media sosial dibanjiri perkongsian tangkap layar semakan kelayakan di portal rasmi www.budimadani.gov.my dan rata-rata penerima teruja apabila subsidi itu membolehkan mereka menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sekarang, bermula 30 September ini.
Bagi pengguna yang berulang-alik setiap hari ke tempat kerja, penjimatan tersebut dianggap signifikan kerana mampu mengurangkan perbelanjaan isi rumah sehingga hampir RM300 sebulan.
Kakitangan kerajaan, Siti Mariah Alias, 57, menyifatkan langkah itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan yang memberi manfaat besar dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar, biarpun penurunan hanya enam sen seliter.

Katanya, penjimatan terkumpul amat bermakna untuk keluarga terutama dalam menyediakan keperluan anak-anak selain dapat digunakan untuk menampung kos barangan lain.
“Walaupun nampak kecil, enam sen itu bila dikira setiap kali isi minyak memang membantu. Duit minyak yang jimat boleh salur kepada belanja sekolah anak saya yang masih seorang ada belajar di universiti.
“Saya bersyukur kerajaan ambil langkah ini. Ini menunjukkan kerajaan sangat prihatin dan mendengar rintihan rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup yang agak tinggi ketika ini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Sementara itu, bagi anak muda, Azhad Sabiq Abdullah, 22, berpandangan, insiatif terbabit mencipta keyakinan bahawa kerajaan memahami tekanan yang dihadapi oleh rakyat.
Menurutnya, subsidi bahan api masih menjadi antara bentuk bantuan paling praktikal kerana ia menyentuh hampir semua lapisan masyarakat.

“Bantuan ini bukan sahaja membantu mereka yang bekerja, namun akan membantu pelajar-pelajar universiti, khususnya mereka yang ulang alik dari rumah sewa ke tempat belajar.
“Secara kasarnya, saya boleh jimatkan kewangan yang diberi keluarga saya kira-kira RM100 yang penjimatan itu saya boleh gunakan untuk membeli makanan ataupun peralatan yang digunakan untuk menyiapkan tugasan yang diberi,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Wee Soi Lai, 34, subsidi itu memberi kelegaan kerana dia berulang-alik hampir 100 kilometer setiap hari dari rumah ke tempat kerja.
“Dengan harga minyak lebih murah, saya dapat jimat sekurang-kurangnya RM300 sebulan untuk perjalanan dari Kajang ke TTDI. Saya pandu kereta, kos minyak pasti tinggi. Jadi bila dah murah, saya sangat tidak sabar untuk menikmatinya,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan bahawa harga RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia mulai 30 September 2025.
Polis dan tentera akan menikmati kadar baharu mulai 27 September manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut dapat akses lebih awal bermula 28 September.
Inisiatif subsidi ini dikenali sebagai BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan menyaksikan penurunan harga daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter.
Bagaimanapun, untuk warga asing, mereka perlu membayar pada harga RM2.60 seliter bermula tarikh sama.





