
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir pihak termasuk pendakwah yang lantang mengkritik Program Bantuan Subsidi MADANI RON95 (BUDI95) tanpa menyelidiki rasional di sebalik pelaksanaan dasar terbaik kepada rakyat.
Anwar berkata, kritikan itu timbul hanya kerana penurunan harga RON95 sebanyak enam sen yang mensyaratkan rakyat melakukan pendaftaran kad pengenalan (MyKad) untuk pengesahan.
Malah Anwar berkata, pelaksanaan itu direncanakan bagi memastikan subsidi dinikmati hanya kepada rakyat tempatan.
“Ada ustaz kata ini (pelaksanaan 300 liter RON95) zalim, dia marah betul. Kawan hantar kepada saya, saya dengar dia kata pergi dakwah merata-rata. Minimum (isi minyak) 600 liter.
“Dia tidak fikir sebahagian kita bayar (300 liter) sebahagian orang lain bayar,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan, pada Jumaat.
Turut hadir sama adalah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata demikan mengulas sebuah tangkap layar yang tular mendakwa seorang pendakwah selebriti yang mempersoalkan mengenai pelaksanaan subsidi RON95 dengan kuota 300 liter setiap individu bagi setiap bulan.
Bagaimanapun, hantaran itu telah diturunkan setelah menerima kritikan pelbagai pihak di ruangan komen.
Anwar menjelaskan kerajaan tidak pernah berniat membebankan rakyat, sebaliknya berusaha menyalurkan subsidi secara lebih tersasar agar tidak terus dinikmati oleh golongan tidak layak termasuk warga asing.
Menurutnya, langkah pendaftaran menerusi MyKad adalah kaedah paling praktikal bagi memastikan hanya rakyat Malaysia menerima manfaat subsidi berkenaan sekali gus menutup ruang ketirisan.
“Tidak semua negara mampu meneruskan program subsidi bersasar kerana memerlukan disiplin kewangan, ketelusan serta kawalan perbelanjaan yang ketat.
“Kalau kita lihat negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, harga minyak di sana pun kini jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Kenapa kita masih mampu beri subsidi? Jawapannya kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik,” katanya.
Anwar berkata walaupun Arab Saudi sebagai negara pengeluar minyak utama pernah menawarkan harga serendah 50 sen seliter pada 2013, harga minyak di negara itu kini melonjak antara RM2.60 dan RM2.90 seliter.
“Qatar sebagai pengeluar minyak dan gas turut menetapkan harga lebih tinggi daripada Malaysia.
“Jawapannya ialah kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik. Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan II, timbalan menteri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan rakan-rakan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
BUDI95 yang diumumkan minggu lalu membolehkan rakyat Malaysia membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter sehingga 300 liter sebulan, manakala bagi bukan warganegara harga ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula 30 September ini.
Kerajaan turut memperuntukkan tambahan kuota subsidi khas kepada pemandu e-hailing bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas dengan pelaksanaan skim tersebut.
Anwar sebelum ini menegaskan, penjimatan daripada pemansuhan subsidi pukal akan digunakan semula untuk memperluas bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan manfaat terus sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.





