
RAKYAT Malaysia dinasihatkan supaya menangguh perjalanan ke Dhaka memandangkan situasi yang sukar diramalkankan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke Bangladesh.
Katanya, rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka di Bangladesh dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.
“Para pelajar yang ingin kembali meneruskan pengajian di Bangladesh juga dinasihatkan untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejurus selepas mereka tiba di Bangladesh.
“Warganegara Malaysia di Bangladesh hendaklah sentiasa berwaspada dan mengelak daripada berada di kawasan yang berdekatan dengan apa jua perhimpunan dan kawasan konflik.
“Langkah berjaga-jaga harus diambil selaras dengan arahan pihak berkuasa tempatan dan semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa komited memastikan kebajikan dan keselamatan semua rakyat Malaysia di Bangladesh sambil memantau situasi secara berterusan.
Memetik anggaran tidak rasmi, satu laporan berita menyatakan lebih 200 orang telah terbunuh sejak 16 Julai.
Pertempuran bermula pada 15 Julai antara polis dan penunjuk perasaan pelajar yang menuntut penghapusan kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan sektor awam kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia melalui butiran berikut:
Alamat: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka
House No 19, Road No 6,
Baridhara Diplomatic Enclave,
Dhaka – 1212
People’s Republic of Bangladesh
Nombor telefon: +880241081892 / 1895
+88 018 4179 8077 (untuk kecemasan sahaja)
E-mel: mwdhaka@kln.gov.my