
SIKAP Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perjuangan dan pembebasan Palestin adalah konsisten sejak dahulu.
Anwar bukan nama asing apabila kita melihat kepada usaha yang pernah, sedang dan seterusnya akan dilakukan Malaysia untuk rakyat Palestin.
Keakraban Presiden PKR itu dengan bekas pimpinan Palestin sejak zaman Yasser Arafat, Mahmud Abbas sehinggalah Ismail Haniyeh sedia terbukti.
Bahkan, Anwar juga pernah dinamakan sebagai ‘anak Palestin’ oleh Arafat pada tahun 1983.
Ini berikutan kelantangan Anwar memperjuangkan nasib penduduk di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza secara terbuka di pentas global.
Beliau kemudiannya mengetuai Jawatankuasa Sambutan Khas apabila Yasser Arafat berkunjung ke Malaysia pada tahun 1984.
Dan ketika Anwar masih bersama UMNO sekitar awal 1980-an, beliau yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO, menganjurkan satu demonstrasi mega di ibu negara, khusus untuk memperjuangkan untung nasib warga Palestin.
Namun, Anwar bukanlah pula seorang individu yang tampil mendabik dada apabila disoal siapa yang paling menonjol dalam memperjuangkan pembebasan Palestin.
Selepas dipilih sebagai Perdana Menteri pada tahun 2022, beliau kekal konsisten dengan pendirian untuk rakyat Palestin.
Anwar juga secara berterusan mengumumkan sumbangan RM100 juta kepada Palestin untuk tabung kemanusiaan dan perubatan.
Akibat kelantangan beliau dalam isu Palestin, Anwar pada Oktober tahun lalu mendedahkan menerima pelbagai tekanan dan ugutan dari negara luar.
Namun, ia sekali pun tidak melunturkan semangat beliau dalam meneruskan pembelaan terhadap Palestin daripada keganasan regim Zionis.
Anwar secara jelas menegaskan bahawa sokongan dari Amerika Syarikat dan sebilangan negara Eropah kepada Israel menjadikan negara itu bertambah angkuh.
Dengan tragedi menimpa Haniyeh pada Rabu lalu, Anwar menyatakan kebimbangan terhadap kestabilan serantau dan keselamatan rakyat Palestin di kem pelarian.
Kita berharap segala usaha dan ketegasan Anwar dapat membantu merungkai permasalahan yang sudah terlalu lama tercetus di Semenanjung Arab itu.