
[ULASAN] Umum mengetahui Facebook merupakan sebuah syarikat aplikasi media sosial yang ada hubungan dengan Israel.
Ia bukan lagi rahsia kerana sekitar Oktober 2023, Pengerusi dan CEO Meta, Mark Zuckerberg telah menyatakan sokongannya kepada rejim Zionis.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Sada Social Ps di aplikasi X, Zuckerberg mengumumkan beliau berpihak kepada tentera Israel dan akan mengetatkan kandungan perihal Palestin di Facebook.

Namun begitu, sehingga kini platform media ini seolah-olah kebal daripada sebarang usaha boikot termasuk daripada penyokong Pas sendiri.
Walaupun syarikat lain diboikot hebat namun aplikasi media sosial di bawah syarikat pengendali media Meta ini langsung tidak terkesan.
Sudahlah tidak memboikot dengan alasan akan menggunakan platform ini sebagai senjata untuk melawan Israel, bahkan ada kalangan mereka seperti menyokong pula.
Tindakan mereka ini dengan melanggan iklan berbayar sudah tentu secara langsung akan menyalurkan dana kewangan kepada Meta dan secara tidak langsung kepada Israel.
Bukan sedikit nilai iklan yang dilanggan, ia sudah mencecah lebih RM100,000 sepanjang langganan dibuat.

Jika dengan syarikat lain mereka boikot untuk berbelanja namun dengan platform bawah Meta, wang mereka seolah-olah halal untuk dibelanjakan.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna akaun TikTok, Salman Udang Official yang mempersoalkan hal tersebut.
Beliau mendedahkan secara terperinci sebanyak 230 iklan yang dilanggan oleh Pas Shah Alam berserta dengan jumlah perbelanjaan lebih RM100,000 yang telah dibelanjakan.
Menerusi video itu, difahamkan iklan itu dilanggan dengan tujuan mendapatkan dana bagi PRK Nenggiri.
Menurutnya, itulah sifat munafik yang dizahirkan oleh Pas apabila menggunakan Islam sebagai perjuangan namun menghalalkan wang mereka untuk membeli iklan di platform Facebook.
Umum juga tahu baru-baru ini dunia Islam dikejutkan dengan kematian Ketua Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu serangan Israel di Iran.
Almarhum juga merupakan sahabat baik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak sekian lama.

Sudah tentu kejadian itu sangat memberi kesan dan menyedihkan Anwar yang kemudiannya menzahirkannya di pelbagai platform media.
Mengejutkan juga hantaran ucapan takziah Anwar di Facebooknya telah diturunkan dan ini mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk Anwar terhadap Meta.
Justeru itu, persoalannya sejauh mana pendirian Pas dalam isu dengan Meta ini?
Logiknya Pas sepatutnya turut sama mengecam Meta dan menghentikan kegiatan langganan iklan yang menyumbang dana kewangan kepada Meta.
Bukannya ibarat kokok berderai-derai, ekor bergelumang dengan tahi.