
KLUANG – Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menasihatkan parti Perikatan Nasional (PN) supaya berkempen dengan berhemah selain menggunakan modal lapuk mencari kesalahan Barisan Nasional (BN).
Ahmad Jazlan berkata demikian bagi mengulas lanjut kenyataan calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Mohamad Haizan Jaafar, mendakwa kerajaan negeri dan ketua kampung tidak mengambil sebarang tindakan susulan terhadap masalah banjir di Kampung Bentong Dalam di sini, hari ini.
Menurut beliau pengundi ketika ini cakna dan bijak membuat penilaian berbanding menyokong pemimpin yang hanya sekadar bercakap ‘kosong’.
“Jika nak berkempen, berkempenlah. Isu lama, modal lapuk nak cari kesilapan orang lain rakyat hari ini dah sedar dan dapat melihat serta bijak membuat perbandingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual pada program ziarah penduduk bagi membantu kempen calon Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Taman Ilham, Kluang di sini, hari ini.
Ahmad Jazlan yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT) itu adalah taktik biasa yang dilakukan oleh pembangkang setiap kali pilihan raya.
Katanya, segala kebaikan yang kerajaan buat tak pernah dilihat secara positif oleh pihak lawan dan BN serta pihak kerajaan sedaya upaya menyelesai permasalahan rakyat yang memerlukan sedikit masa bagi dijalankan secara berperingkat.
“Mereka sentiasa mencari kelemahan, kita mengakui tiada yang sempurna dalam dunia ini tetapi apa yang jelas kerajaan dibawah BN jika dicampur sekarang ini kita berada dalam kerajaan Perpaduan setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak pernah diabaikan oleh kerajaan dan pemimpin daripada Barisan Nasional.
“Cuma untuk menyelesaikan setiap masalah, mungkin memerlukan sedikit masa dan dijalankan secara berperingkat.
“Saya nasihatkan kepada pihak PN, dia ada empat negeri yang memerintah. Kalau kawan dia sebelah sana Pas memerintah dan contohnya dalam kerajaan yang sama PN masalah di negeri Kelantan ini 34 tahun tidak pernah selesai masalah banjir.
“Tambahan pula masalah longkang, air dan sampah juga belum selesai. Manifesto demi manifesto setiap pilihan raya. Stesen bas janji nak dibina di Kota Bahru, ibu negeri Kelantan jika nak dibandingkan dengan Kluang jauh lebih baik saya rasa malu nak cakap,” katanya.




