
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan insentif kerajaan negeri berjumlah RM5,000 kepada atlet muay thai Sabah, Emmabell Cassandra, sebagai pengiktirafan atas kejayaan cemerlangnya di pentas antarabangsa di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, pemberian insentif tersebut bukan sekadar ganjaran, tetapi simbol penghargaan terhadap usaha gigih dan disiplin tinggi yang dipamerkan atlet berkenaan sehingga berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, kejayaan Emmabell membuktikan anak Sabah mampu bersaing di pentas global jika diberi peluang dan sokongan sewajarnya.
Beliau turut menyifatkan pencapaian Emmabell sebagai pemangkin semangat kepada generasi muda untuk berani menceburi bidang sukan dan mengejar kecemerlangan.
Emmabell sebelum ini mencuri tumpuan apabila muncul juara kategori wanita dalam kejohanan Byon Combat Showbiz 7 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Sabah sebaris dengan negeri-negeri lain dalam melahirkan atlet bertaraf dunia.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Juil Nuatim serta Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Mansur Asun.



