PUTRAJAYA – Jentera parti Amanah sudah bersedia membantu kempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Mahkota yang sedang berlangsung ketika ini.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, mereka mahu mengulangi kejayaan besar di kerusi Nenggiri pada Ogos lalu.
“Walaupun tiada ahli daripada Amanah terpilih sebagai calon, namun kita sedia membantu di mana-mana PRK dengan memberi sokongan cukup padu seperti di Nenggiri,” katanya selepas melakukan lawatan dan memberi sumbangan kepada anak nelayan, Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20, di Kampung Air Tawar dekat Pasir Puteh, Kelantan.
Muhammad Faiz memberitahu, usaha semua jentera dari gabungan Kerajaan Perpaduan memberi peluang lebih besar untuk memenangi PRK Mahkota.
Pada PRK itu, Barisan Nasional memilih Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon, manakala Perikatan Nasional mempertaruhkan Mohamad Haizan Jaafar, 61.








