KUALA LUMPUR – Presiden UMMO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak untuk menubuhkan kerajaan baharu ‘tebuk atap’, susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ia dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri itu ketika mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Rabu.
Berikutan itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan, kerajaan negeri pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu masih berjalan seperti biasa.
“Setakat ini tidak ada perkembangan terkini. Saya rasa kita berjalan seperti biasa, seperti yang saya tegaskan. Semalam juga dalam (mesyuarat) Biro Politik UMNO telah pun mengeluarkan kenyataan walaupun dikatakan 14 ADUN itu hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, tetapi masih sokong Kerajaan Perpaduan.
“Jadi saya lihat kalau itu pendirian yang dibuat oleh UMNO, malah dalam (mesyuarat) Kabinet semalam Presiden UMNO sendiri telah menyatakan pendirian yang sama kepada Kabinet. Maksudnya, Presiden UMNO juga tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan baharu atau tebuk atap.
“Jadi maksudnya kerajaan sedia ada ini kekal Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan perjalanan pentadbiran di peringkat negeri. Saya rasa itu dapat diperjelaskan dan ia akan membantu meredakan keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China, Volume V, pada Khamis.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Mengulas lanjut kemelut berkaitan institusi adat dan Perlembagaan negeri itu, Loke mengambil pendekatan tidak mencampuri urusan itu.
“Memang kita tahu ada isu yang belum selesai antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Datuk Dr Undang. Jadi itu adalah sesuatu yang di luar kawalan kita. Itu perlu diselesaikan dengan baik dalam institusi tersebut.
“Jadi kita tak boleh masuk campur. Bagi kita di peringkat kerajaan adalah memastikan kerajaan berjalan seperti biasa. Menteri Besar, Exco dan ADUN, mereka berfungsi seperti biasa, bekerja seperti biasa. Itu saya rasa dapat memastikan kestabilan dapat dijamin,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai pembabitan seorang menteri pusat bersama 14 ADUN menarik sokongan terhadap Aminuddin, Loke enggan mengulas lanjut dan meminta soalan itu ditanya teruskan individu berkenaan.






