PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva telah menerima undangan beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 2025 sebagai Tetamu Pengerusi.
“Undangan itu diterima dengan sukacita oleh Presiden Luiz Inácio Lula da Silva,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, menerusi satu kenyataan bersama di Rio De Janeiro hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Lula kerana mengundang beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Anwar tiba di Lima pada Sabtu lalu untuk mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Peru, negara terbesar di Amerika Selatan.
Malaysia, bersama-sama 16 lagi negara termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam, turut menjadi negara tetamu pada Sidang Kemuncak G20.
G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.
Anwar diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tahun ini adalah ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Putrajaya dan Brasília, meraikan hubungan dua hala yang kukuh berdasarkan nilai-nilai serta matlamat bersama seperti keamanan, kerjasama dan pembangunan mampan.





