KLUANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesahkan kes pukul membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan itu telah dirujuk dan pihaknya telah menerima notis NFA daripada Pejabat Timbalan Pendakwaraya.
Malah katanya, tiada mana-mana pihak dituduh dalam kes berkenaan termasuk penama yang telah dinyatakan.

“Hari ini pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah mengesan satu pautan di laman media sosial berhubung dakwaan bahawa isu calon daripada parti BN dipercayai mempunyai rekod jenayah.
“Hasil semakan mendapati penama Syed Hussien Syed Abdullah tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tiak Diingini 1969 (Akta 7),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, justeru polis menasihatkan parti politik agar berkempen secara sihat dan tidak mengeksploitasi isu 3R (kaum, agama dan raja) atau membuat kenyataan palsu terhadap individu lain.
“Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mudah percaya kenyataan palsu tanpa ditentusahkan kesahihannya terlebih dahulu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana- mana pihak yang dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam,” katanya.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dalam satu ceramah di kempen Perikatan Nasional (PN) meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan pernah ditangkap polis berhubung satu kes pukul pada 16 tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri yang turut merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa Syed Hussien hanya cuba membela seorang lelaki buta yang dipukul dan diganggu sekumpulan lelaki.



