Malaysia-Australia sepakat tingkatkan bekalan tenaga, perdagangan terbuka

PUTRAJAYA – Malaysia dan Australia hari ini menegaskan komitmen bersama untuk memastikan kestabilan serta daya tahan bekalan tenaga, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Anthony Albanese menekankan kepentingan perdagangan terbuka dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk mempertingkat ketahanan rantaian bekalan tenaga melalui kerjasama serantau yang lebih erat, sokongan terhadap agenda peralihan tenaga serta usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu (TBB).

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menegaskan pendekatan perdagangan berasaskan komunikasi jelas dan saling jangkaan antara rakan dagang.

“Kami akan saling bertukar pandangan mengenai perkara berkaitan perdagangan atas dasar ‘tiada kejutan’ selain memperdalam kerjasama praktikal keterjaminan tenaga untuk membolehkan dua negara mencapai matlamat bersama.

“Bekalan tenaga global yang terbuka serta berdaya tahan ini kekal penting terhadap keterjaminan dan kesejahteraan rakyat dua negara ini dan kami akan terus berunding mengenai perkembangan yang mungkin memberi kesan ke atas bekalan tenaga serta pasaran,” kata Anwar dan Albanese dalam kenyataan bersama sempena sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Albanese yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bermula 15 hingga 17 April, menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Australia mempunyai hubungan yang kukuh berasaskan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), dengan kedua-dua negara berkongsi kepentingan dalam memastikan kestabilan serantau, kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi.

“Hubungan akrab ini berlandaskan kepercayaan strategik dan komitmen bersama untuk membuka pasaran serta perdagangan berasaskan peraturan.

“Kenyataan bersama itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik berterusan di Asia Barat serta kesannya terhadap pasaran tenaga global.

“Australia dan Malaysia berkongsi kebimbangan mendalam berkaitan konflik di Asia Barat, impaknya yang meluas serta kesan ke atas rantau ini, termasuk membabitkan rantaian bekalan tenaga, harga serta aliran bekalan tenaga penting seperti rantaian minyak dan gas asli,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kekal sebagai rakan dipercayai Australia dalam hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

“Malaysia sentiasa menjadi rakan boleh diharap untuk Australia. Kami bersama ketika tempoh sukar dan senang sepertimana yang telah dibuktikan sebelum ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia bagi memperluas akses pasaran serta kerjasama sektor berkaitan.

Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju meningkatkan kerjasama dalam sektor pertanian termasuk perkongsian kepakaran dalam pengeluaran makanan dan sistem pengairan.

Australia kekal sebagai rakan ekonomi penting Malaysia, menduduki tempat ke-12 sebagai rakan dagang terbesar pada 2025 dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (AS$18.38 bilion).

Hubungan Malaysia-Australia diperkukuh melalui Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) sejak 2021 yang menjadi asas kerjasama merentas tiga teras utama iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi serta pertahanan dan keselamatan serantau.

Related Posts

Seorang didakwa, lima dikompaun sebar berita palsu harga bahan api – MCMC

PUTRAJAYA – Tindakan tegas diambil terhadap penyebaran berita palsu mengenai kenaikan harga bahan api yang dikaitkan dengan krisis di Asia Barat apabila seorang individu akan didakwa, manakala lima lagi dikenakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KPM rancang lima atau tujuh sekolah kategori K11 tahun depan

KUANTAN – Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk memperluas inisiatif Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) dengan penambahan sekurang-kurangnya lima hingga tujuh sekolah lagi tahun hadapan. Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seorang didakwa, lima dikompaun sebar berita palsu harga bahan api – MCMC

Seorang didakwa, lima dikompaun sebar berita palsu harga bahan api – MCMC

KPM rancang lima atau tujuh sekolah kategori K11 tahun depan

KPM rancang lima atau tujuh sekolah kategori K11 tahun depan

Inkues Zara Qairina: 15 telefon, kad SIM jadi bukti penting

Inkues Zara Qairina: 15 telefon, kad SIM jadi bukti penting

Malaysia-Australia erat kerjasama tenaga, Petronas jadi fokus rundingan

Malaysia-Australia erat kerjasama tenaga, Petronas jadi fokus rundingan

Malaysia-Australia sepakat tingkatkan bekalan tenaga, perdagangan terbuka

Malaysia-Australia sepakat tingkatkan bekalan tenaga, perdagangan terbuka

Sabah ambil alih 83 projek bekalan air luar bandar – Zahid

Sabah ambil alih 83 projek bekalan air luar bandar – Zahid