
PENAMPANG – PKR Cabang Penampang menegaskan bahawa jentera parti kini dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, khususnya dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog yang secara tradisinya adalah milik Pakatan Harapan (PH).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Penampang, Eldridge Laurence Timis berkata, seperti mana yang termaktub dalam semangat dan prinsip PH, pembahagian kerusi antara komponen gabungan adalah hak mutlak Majlis Presiden PH dan perlu dihormati oleh semua parti komponen.
“Kami mengambil maklum kenyataan Datuk Peter Mojuntin yang menyatakan hasrat untuk bertanding di DUN Moyog, namun ingin kami tegaskan di sini bahawa sebarang keputusan berkaitan dengan agihan kerusi hanya boleh dibuat secara kolektif oleh Majlis Presiden PH.
“Tindakan unilareral oleh mana-mana individu atau parti yang melangkaui proses ini boleh mencetus kekeliruan serta menggugat keharmonian dan kekuatan gabungan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Menurut beliau, PKR kekal berpegang kepada prinsip rundingan dan permuafakatan dalam PH serta akan menyokong sesiapa sahaja calon yang dipersetuji oleh kepimpinan gabungan itu untuk bertanding di kerusi Moyog.
“PKR tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan hak dan kedudukan kerusi PH di Moyog berdasarkan konsensus rasmi yang diputuskan secara kolektif.
“Kenyataan berkaitan agihan kerusi perlu disalurkan melalui saluran sah, bukan secara spekulatif dan unilateral,” jelasnya.
Eldridge turut menyeru agar rakan gabungan PH, termasuk UPKO, menghormati proses rundingan rasmi dan memberi ruang kepada keputusan kolektif demi menjamin kemenangan gabungan dalam PRN ke-17.
“Fokus utama kami untuk mempertahankan kekuatan PH di Sabah, khususnya di DUN Moyog dan kepentingan gabungan perlu diutamakan melebihi kepentingan mana-mana individu atau parti,” katanya.





